Individual Assignment 1- by Cheah Chong Song


ProfileUsahawan Pilihan

Hajah Faiza Bawumi Sayed Ahmad merupakan pengasas jenama Beras Faiza di bawah Syarikat Faiza Sendirian Berhad. Kisah kejayaan Hajah Faiza bukan mudah seperti yang disangka. Namun, perlu melalui pelbagai cabaran dan dugaan hampir lebih 43 tahun. Wanita kelahiran Mesir itu berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya, Tuan Haji Abu Bakar Ahmad. Berhijrah ke Malaysia pada usia muda dan tidak fasih berbahasa Melayu merupakan cabaran awal ketika beliau mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.


Disebabkan sikapnya yang tidak betah duduk diam, beliau yang mempunyai diploma dalam bidang jahitan mula mengambil upah menjahit sulaman dan menjual barangan dapur. Tempahan jahitan diterima daripada jiran-jiran dan kenalan suaminya. Tapi apa yang menarik adalah, melalui upah jahitan yang bernilai RM4 itulah yang membawa Hajah Faiza menjadi seorang usahawan beras yang berjaya. Upah bernilai RM4 yang diperolehinya mendorong beliau untuk berniaga dari rumah ke rumah. Selain mengambil tempahan jahitan, beliau turut mencuba nasib dengan menjual rempah yang dibuatnya sendiri ke rumah jiran dan kedai. Rempah yang diberi nama Bunga Raya itu diadun daripada pelbagai jenis rempah yang dibelinya di pasar.




Melihatkan kepada sambutan yang kurang memberangsangkan terhadap perniagaan rempahnya, ibu kepada tujuh anak itu mula mencari peluang yang lain. Modal daripada menjual rempah kari itu digunakan pula untuk membuka kedai runcit. Dari situ beliau mendapati pemborong beras kebanyakannya datang daripada kaum yang lain. Mengambil kesempatan daripada peluang yang ada, beliau lantas memulakan perniagaan beras secara kecil-kecilan. Mempunyai kedai sendiri memberi kelebihan kepada beliau untuk mula belajar mengenali pelbagai jenis beras. Hajah Faiza juga tidak segan-silu pergi dari satu kedai ke kedai yang lain untuk mendapatkan maklum balas sama ada mereka mahu membeli beras jika beliau menjualnya. Melihatkan kepada respon positif yang diterima, beliau melebarkan sayapnya dengan memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk beras wangi, basmathi dan beras Siam.


Beliau turut berasa buntu ketika memulakan perniagaan berasnya lebih-lebih lagi apabila melihat satu lori treler yang penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumahnya. Namun, berbekalkan keazaman yang tinggi, beliau nekad membungkus beras-beras tersebut dengan menggunakan jenama Bunga Raya dan mengedarkannya di kedai-kedai seluruh Johor. Dalam tempoh sembilan tahun, perniagaan beras keluaran syarikat Hajah Faiza yang ditubuhkan pada tahun 1982 semakin mendapat tempat di hati penggemar beras wangi. Jaringan perniagaannya juga semakin lebar merangkumi pelanggan di sekitar Johor, Melaka dan Kuala Lumpur. Melihatkan kepada penerimaan daripada pelanggan, Syarikat Faiza secara rasminya pada tahun 1992 bertukar menjadi sebuah syarikat korporat dengan nama Syarikat Faiza Sdn Bhd (SFSB).


Sekitar tahun 1998, melihat kepada gaya pemakanan kurang sihat di kalangan masyarakat Malaysia telah mendorong Hajah Faiza untuk mempromosi beras ponni dari India yang dipercayai baik untuk kesihatan, khususnya bagi penghidap diabetes, obesiti dan darah tinggi. Bagi membuktikan kebaikan yang dimiliki beras itu, syarikatnya telah bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membuat kajian dan hasilnya memang positif.



Syarikat Faiza juga telah menerima pelbagai jenis pengiktirafan antaranya termasuklah sijil ISO 9001:2000 oleh SIRIM pada Mac 2004, anugerah Superbrand Taj Mahal oleh Superbrand Malaysia pada November 2003 dan menerima pengiktirafan sijil Halal oleh JAKIM pada 2003. Malah, syarikat ini juga pernah dinobatkan sebagai Pembekal Beras Terbaik BERNAS pada 2001. Menyingkap pula pada anugerah yang diterima oleh pengasasnya iaitu Hajah Faiza, ibu kepada tujuh anak itu pernah dinobatkan sebagai Tokoh Ibu Mithali Perkim pada 2007 dan Wanita Anggun pada tahun 2005. Pada peringkat negeri pula, beliau yang bermastautin di Johor telah dinobatkan sebagai Wanita Nadi Negara peringkat Johor pada 2007.





Sumber Rujukan:

http://kisahjutawan.blogspot.com/2009/01/jutawan-wanita-faiza-bawumi-sayed-ahmed.html
http://www.usahawan.com/tokoh-perniagaan/bermula-dengan-upah-rm4-kini-jadi-jutawan.html
http://wanita-gddotcom.blogspot.com/2011/12/tokoh-puan-hjh.html
https://www.facebook.com/pages/Puan-Hjh-Faiza-Bawumi-Sayed-Ahmad